September 27, 2012
Demonstrasi BATIK pada hari MERDEKA
September 17, 2012
Lukisan Termahal Di Dunia
September 15, 2012
KOLAJ 1 Malaysia
April 25, 2012
Johan Pertandingan Logo IPG Lestari

April 2, 2012
Kembara Seni Visual
November 2, 2011
KOLEKSI TEMPLAT ADOBE PHOTOSHOP (PSD)
August 23, 2011
Proses Pembuatan Wau Tradisional
Usaha mengekalkan warisan tradisional ini dipergiatkan lagi dengan menempatkannya di dalam kurikulum Pendidikan Seni Visual di negara ini, adalah suatu langkah baik sekaligus dapat menyemai sikap pelajar mencintai dan mewarisi warisan kraf tradisional ini. Pelajar akan dapat mempelajari ilmu pengetahuan dan mendalami kemahiran menghasilkan kraf.
Kraf tradisional di sekolah rendah dan menengah banyak menumpukan kepada kraf popular tanahair antaranya batik, anyaman, tenunan, ukiran kayu, tekat, gasing, wau dan sebagainya.
Wau meliputi pelbagai aspek artistik seninya, daripada proses pembuatan hinggalah proses menaikkan wau.
Menerusi dada maya ini, saya ingin berkongsi pengalaman dalam proses pembuatan wau sebagai memenuhi keperluan silibus pelajar minor PSV di IPG Kampus Kent. Kemahiran membuat wau ini saya perolehi secara tidak langsung ketika meniti zaman kanak-kanak lagi. Kemahiran dikongsikan bersama rakan-rakan dan dari orang perseorangan yang mahir ketika itu. Minat dan teruja terhadap wau membuatkan ianya menjadi sebahagian dari hidup saya.
Sehubungan dengan itu, saya rasakan pendidikan secara tidak langsung yang saya perolehi sangat berguna untuk masa hadapan apatah lagi tanggungjawab saya sebagai guru PSV dalam usaha membimbing pelajar mengenali, mendekati, mengetahui, mewarisi dan mengekalkan sebahagian dari kraf tradisional warisan nenek moyang yang kita sanjungi.
Dibawah ini adalah gambar-gambar aktiviti proses pembuatan wau dari mula hinggalah proses menyiapkan sebuah wau tradisional.
Proses meraut buluh untuk dijadikan rangka wau
Proses melekatkan kertas wau pada rangka
Proses menghasilkan motif sebagai rekacorak pada wau menggunakan kertas warna
Proses menghasilkan rerambu menggunakan kertas wau
Proses melekatkan rerambu pada kepala dan ekor wau
Pensyarah PSV, En Mansor Md Desa membantu pelajar-pelajar menghasilkan wau
Kumpulan 1 : Wau Bulan
Kumpulan 2: Wau Kucing
Kumpulan 3 : Wau Jala Budi
Kumpulan 4 : Wau Bulan
Terima kasih pada pelajar dan pensyarah yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran kraf wau (seni 3 Dimensi)
Kraf tradisional kini adalah sebahagian dari identiti warisan Melayu yang perlu dijaga dan diwarisi generasi pada hari ini.
May 5, 2011
Pameran PSV - Grafik Korporat
Seramai 20 orang pelajar terlibat mempersembahkan hasil karya mereka sebagai tuntutan pelaksanaan penilaian ujian amali PSV Minor yang dihasilkan sepanjang semester Jan hingga Mei 2011.
Pameran yang bertemakan Grafik Korporat memperagakan 5 buah karya grafik bagi setiap pelajar menggunakan perisian grafik digital iaitu Adobe Photoshop. Perisian ini sangat popular ketika ini dan sangat sesuai dalam kerja - kerja grafik digital khususnya kepada pelajar yang ingin menghasilkan karya seni visual mengintegrasikan komputer atau ICT.
Antara jenis karya yang dihasilkan pelajar adalah logo, 'letter head', kad bisnes, kulit buku dan pamphlet.
Matlamat pameran ini adalah memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk mempamerkan hasil karya yang telah dilaksanakan untuk tatapan umum serta proses apresiasi dan kritikan terhadap karya agar mendapat manfaat yang positif hasil dari pembelajaran serta penambahbaikan terhadap karya. Selain itu pelajar dapat membudayakan aktiviti berpameran kerana manfaatnya sangat baik selain ia dapat mendidik secara tidak langsung.
Tajuk pembelajaran grafik korporat ini adalah sebahagian dari tajuk-tajuk yang dimuatkan dalam silibus semester ini bertujuan agar pelajar dapat mengintegrasikan ICT dalam penghasilan karya seni dan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Pelajar juga digalakkan untuk mendalami senireka grafik menerusi penggunaan perisian yang sesuai untuk PSV. Selain itu, pelajar juga dapat mengaplikasikan elemen senireka yang telah dipelajari dalam penghasilan karya seni visual.
Pameran ini telah dirasmikan oleh Dr. Noriati Binti Abd. Rashid, Pengarah Pusat Pembangunan Akademik IPG KPM. Semoga pameran ini adalah titik mula yang positif untuk melangkah lebih jauh dalam proses transformasi mendidik masyarakat agar dapat mengenali, mendekati dan menghayati seni visual yang banyak memberi impak positifnya. Harapan saya juga agar kepentingan subjek PSV ini adalah sebaris dengan subjek lain. Terima Kasih pada semua yang terlibat dalam menjayakan pameran ini.
January 4, 2011
Setem Khazanah Seni Visual Malaysia



Sempena ulang tahun ke 50 Balai Seni Lukis Negara (BSLN), Khazanah Seni Visual Negara melangkah kesatu tahap atau konteks yang lebih jauh lagi. Satu penghargaan buat BSLN untuk merealisasikan buat pertama kalinya karya tiga pelukis tersohor diabadikan sebagai setem Khazanah Seni Visual Negara dengan kerjasama Pos Malaysia Berhad menjadikan satu koleksi setem seni visual yang akan menjelajah ke seluruh pelusok dunia. 28 Ogos 2008 dipilih sebagai hari pelancaran sempena menyambut hari kelahiran BSLN yang ke 50.
Dalam tempoh 50 tahun penubuhan BSLN, terdapat 3,700 buah karya yang telah terhimpun. Khazanah Seni Visual Negara adalah koleksi catan pelukis pelukis terkenal Malaysia yang menjadi peneraju dan pengasas kepada seni lukis moden di Malaysia. Hasil karya yang dipilih adalah berdasarkan perwakilan kepada tema figuratif dan landskap yang dipersembahkan dalam gaya seperti realisme, eksperisionisme, kubisme dan seni moden yang berilhamkan seni tradisi. Sebagai pengisian ulangtahun ke 50 Balai Seni Lukis Negara juga telah berjaya menjalankan beberapa aktiviti sama ada di dalam mahupun di luar BSLN. Antaranya adalah pameran koleksi karya Seni Visual terbesar yang mempamerkan himpunan tetap negara iaitu Pameran Susurmasa atau Timelines, penerbitan Direktori Galeri-Galeri Seni, ’Kids World Longest Underwater Painting’ di Pulau Mabul, Sabah, Simposium Konservasi Antarabangsa, Rantau Budaya Merdeka : Pencarian Wajah Jati Malaysia, Pameran SEMESTA, Pertemuan dan Dialog dengan penggiat seni, Sidang Seni : SINI 08 kerjasama BSLN bersama Kementerian Pelajaran Malaysia dan Persatuan Seni Visual, Koleksi Saya: Rahime Harun dan yang akan datang Pameran TENG: Satu Penghargaan yang mempamerkan karya terbaik oleh Mendiang Datuk Chuah Thean Teng seorang pelukis terpenting negara. Setem Khazanah Seni Visual Negara ini telah dilancarkan oleh Y. Bhg. Dato’ Seri Hj. Mohd Shafie Hj. Apdal, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KEKKWA). Bersama-sama pelancaran ini juga telah dirasmikan katalog bagi pameran SUSURMASA versi Bahasa Inggeris juga sambutan harijadi warganegara Malaysia yang bertuah dan terpilih yang sama tarikh lahirnya dengan BSLN.
July 28, 2010
TEMBIKAR- Kraf Tradisional

PENGENALAN
•Tembikar ialah barangan kraf yang diperbuat daripada tanah liat
•Ia dikeringkan dengan cara mendedahkannya di bawah pancaran matahari, dan dibakar secara dedah atau dalam tanur
•Seni tembikar wujud di Malaysia sejak beribu tahun dahulu
•Bukti penemuan barangan tembikar seperti di Gua Cha di Kelantan, Bukit Tengku Lembu di Perlis, Ulu Tembeling di Pahang,Bukit Tambun di Perak dan Gua Niah di Sarawak
•Tembikar digunakan dalam upacara perubatan atau upacara pertabalan Sultan, alat pengebumian di Sarawak dan Sabah selain daripada kegunaan harian
•Tembikar Sayong, Tembikar Mambong dan tembikar Sarawak merupakan tembikar tradisional yang paling terkenal
KAWASAN penghasilan tembikar ;
1. Sayong, Kuala Kangsar, Perak
2. Kampung Mambong, Kuala Krai, Kelantan
3. Pulau Tiga, Parit, Perak
4. Kg.Pasir Durian, Hulu Tembeling, Pahang
5. Kuching, Sarawak
6. Sunagi Dua, Seberang Prai, P.Pinang
JENIS-JENIS TEMBIKAR
TEMBIKAR MAMBONG
•Terkenal di Kelantan
•Dihasilkan untuk kegunaan harian
•Menggunakan tanah liat yang dicampur dengan sedikt pasir halus dalam proses pembuatannya
•Tembikar yang dikeringkan akan berwarna kelabu dan apabila dibakar ia bertukar menjadi kemerahan-merahan
•Ia tidak mempunyai corak kecuali tulang ikan, pucuk rebung dan siku keluang
TERENANG
•Kendi air bertutup yang diperbuat daripada tanah liat
•Diusahakan di Kg.Pasir Durian, Pahang
•Bahan utama pembuatannya ialah tanah padi berwarna kuning, keras dan berketul yang didapati di celah-celah tanah dan batu
•Hasil terenang berwarna coklat kekuningan
BEKAS BARA/PERASAPAN
-Digunakan untuk membakar kemenyan dalam upacara pengubatan dan kematian
LABU
-Bekas air berbentuk buah labu banyak terdapat di Perak mempunyai corak –alam sekeliling dan geometri
JAMBANGAN
Badan berbentuk labu yang ditinggikan seperti tempayan atau buyung berkaki digunakan untuk meletak Bunga
BUTUNG
Bekas air mempunyai leher dan badan bersaiz besar dan bahagian badan berbentuk bulat penuh serta mempunyai permukaan yang licin tanpa hiasan
GELUK
Bekas air mempunyai ragam hias bermotif kecil dan ringkas
TEMBIKAR SARAWAK
•Berasal dari China dan diusahakann oleh kaum Cina
•Berbentuk tempayan beraneka jenis dan diukir dengan hiasan kepala naga
•Banyak digunakan oleh kaum Kelabit di Sarawak untuk menyimpan barang berharga,atau mengisi arak
•Menggunakan mesin pemutar/ lempar alin dan acuan
TEMBIKAR SAYONG
•Tembikar ini diusahakan di Sayong, K.Kangsar, Perak
•Bentuknya diilhamkan daripada buah labu air
•Berfungsi sebagai bekas untuk mengambil dan menyimpan air
•Air yang disimpan dalam labu sayong ini dikatakan dingin, nyaman dan mempunyai khasiat yang tertentu
•Ia dihasilkan oleh kaum wanita , menggunakan teknik picitan dan lingkaran
•Corak hiasannya berdasarkan alam sekeliling dan rupa geometri
BAHAN
1.Tanah liat :
•Bahan utama untuk membuat tembikar
•Pelbagai jenis tanah liat : tanah liat drpd tanah busut , tanah berhampiran sungai / di sungai, tanah sawah , berwarna kelabu dan kuning kemerah-merahan
2.Damar
•Bahan kemasan tembikar yang berupa getah keras yang digunakan sebagai bahan kalis air
•Diperolehi daripada jenis pokok damar laut, dan damar batu
ALATAN
Ayak-Alat ini mempunyai jaring halus yang digunakan untuk menapis serbuk tanah liat dan sepuh (gerlis).
Dawai pemotong-Alat ini untuk memotong tanah liat semasa menguli untuk memastikan tiada liang udara.
Pinggan-Tempat membentuk tanah liat yang berfungsi sebagai meja.
Penggelek/Papan gelek/pengukur-Papan gelek – papan untuk menggelek tanah liat dalam proses membentuk. Ia juga dipanggil papan rata. Kayu pengukur digunakan untuk mendapatkan ketebalan yang dikehendaki, terutama bentuk tapak.
Batu sungai-Digunakan untuk melicinkan dan mengilatkan permukaan tembikar yang telah siap.Alat ini juga dipanggil sebagai batu licin, batu kali atau batu luru.
Pengukir kayu/Kayu tera-Kayu kecil yang kedua-dua hujungnya bermotif, digunakan untuk membentuk corak dengan menekannya pada tembikar yang tidak begitu keras dan tidak begitu lembut.
Span-Alat untuk mengemas dan melicinkan permukaan tembikar.
Tong-Bekas untuk menyimpan tanah liat yang telah diproses.Tong perlu ditutup supaya tanah liat tidak mudah kering.
Pengukir besi/Penepik kayu berukir/Pengukir dawai-Alat yang digunakan untuk menghias permukaan tembikar dengan cara tekanan ,turisan, menakik atau mengguris .

TEKNIK DAN PROSES MEMBUAT LABU SAYONG
•Tanah liat dikeringkan dan ditumbuk dengan menggunakan lesung kaki
•Tepung tanah liat direndam dalam air kemudian ditapis
•Tanah liat dikeringkan semula kemudian dicampur dengan air dan diuli hingga lembut, liut dan liat serta tidak mengandungi liang-liang udara
•Teknik picitan dan lingkaran digunakan untuk membentuk
•Membentuk labu sayong perlu melalui beberapa peringkat
-Membina badan labu
-Membuat tapak
-Menyambung kan tapak dengan badan labu
-Membuat muncung
-Menyambungkan bahagian leher dan muncung
--Menyambungkan bahagian badan dengan leher dan muncung
•Keringkan tembikar yang telah siap di tempat yang redup selama beberapa hari
•Licinkan permukaan labu dengan batu sungai
•Hiasakn permukaan labu dengan ragam hias yang sesuai menggunakan penepik kayu berukir, pengukir besi atau kayu tera
PROSES PENYEDIAAN TANAH LIAT
1.Tanah liat dijemur untuk dikeringkan. Asingkan tanah liat dengan bahan-bahan asing seperti sampah, batu , serpihan akar kayu supaya tembikar tidak pecah apabila dibakar
2.Kemudian ditumbuk menjadi tepung dengan menggunakan lesung kaki lalu diayak
3.Tepung tanah liat itu diperam dalam pasu berair selama 3 hari sehingga tanah mendap ke dasar pasu
4.Air dibuang dan mendapan tanah liat yang liut dan lembut dibiarkan pada permukaan keping plaster paris selama beberapa hari
5.Tanah liat diuli sehingga menjadi doh yang lembut dan liat
6.Tanah liat yang telah diproses disimpan dalam tempayan bertutup atau beg plastik untuk kegunaan kelak
7.Sebelum membentuk tembikar, tanah liat hendaklah diuli beberapa kali supaya tiada gelembung udara dan batu kecil yang akan meretakkan tembikat ketika dibakar / pecah
TEKNIK MEMBENTUK TEMBIKAR
1.Teknik picit
•dengan cara menekan dan memicit ketulan tanah liat dari bahagian tengah.Teknik ini merupakan teknik yang paling mudah
2.Teknik lingkaran
•bahagian tapak disediakan terlebih dahulu
•kemudian tanah liat digelek dengan tangan sehingga menjadi lingkaran panjang seperti silinder dan dilingkar membentuk sebuah tembikar
3.Teknik kepingan
•dihasilkan dengan cara mencantumkan kepingan tanah liat yang dipotong mengikut saiz tertentu
•bahagian tepi hujung kepingan tanah liat dipotong secara menyerong 45 darjah bagi tujuan penyambungan
•bahagian hujung kepingan disapu atau dicelup dengan slip(Lumpur tanah liat yang berfungsi sebagai pelekat / gam )
4.Teknik lempar alin/ putaran
•menggunakan mesin pemutar / roda pemutar
•Tembikar dibentuk semasa melakukan putaran
•Bentuk tembikar terhad kepada bentuk bulat dan selinder sahaja
5.Teknik acuan
•dilakukan dengan menekan ke dalam acuan kayu atau logam
•bagi acuan plaster paris, slip ( tanah liat cair) dituang ke dalam acuan
•digunakan untuk perusahaan komersial
KAEDAH PEMBAKARAN TEMBIKAR
1.Kaedah tradisional
•tanur dedah menggunakan bahan api seperti sabut, bulu kering,pelepah pokok kelapa, kayu dsb
•teknik pembakaran Pulau Tiga
-tembikar didiangkan pada unggun api sehingga benar-benar kering
-kemudian dimasukkan ke dalam bara api untuk mendapatkan kesan warna kehitaman
-sapu damar pada bahagian bawah tembikar yang masih panas supaya kalis air
•Teknik pembakaran Sayong
-tembikar disalai di atas para dengan mulut menghala kearah api
-kemudian tembikar dimasukkan ke dalam api
-tembikar yang telah dibakar dimasukkan serta merta ke dalam sekam padi untuy menghitamkannya
-bahagian bawah tembikar disapu dengan damar untuk menggelakkannya daripada telap air
PROSES PENGERINGAN DAN PEMBAKARAN
•keringkan tembikar sama rata
•elakkan tembikar yang sudah kering daripada terkena air
•bakar tembikar sehingga kering secukupnya supaya tembikar menjadi pejal, keras dan tidak telap air
TEKNIK MENGHIAS TEMBIKAR
•labu dihias sewaktu permukaan tembikar masih dalam keadaan lembut
•menggunakan motif geometri dan organik
•alat yang digunakan terdiri daripada pengukir kayu atau besi
•teknik menghias tembikar:
1. teknik menekan
2. teknik kelar / guris
3.teknik mengikis dan mengukir
KEMASAN & PERSEMBAHAN
1. bentuk tembikar seimbang, rata dan kukuh
2. muncung tembikar halus dan tidak serpih
3. tapak tembikar sempurna dan tidak serpih
4. leher tembikar kemas dan bentuknya sesuai serta seimbang
5. ragam hias
•garisan dan lorek terang dan tersusun
•ukiran jelas
•kesan tekanan nyata dan teratur
•panai dibentuk sekata dan kemas
•sambungan tampalan corak bunga timbul sesuai dengan keseluruhan bentuk
PEMELIHARAAN & PENJAGAAN
•pastikan tembikar benar-benar kering sebelum disimpan
•tembikar hendaklah diletakkan di tempat yang rata dan selamat sewaktu digunakan
•cara mengilap tembikar hendaklah dilakukan secara cermat kerana tembikar mudah pecah
TOKOH TEMBIKAR
1. Pn. Hasnah Adnan (perak)
2. Pn. Sofia (Perak)
3. Pn. Hawa Bt Ngah Salam ( Perak )
4. Hajjah Rogayah bt Salleh (Perak)
5. Ng. Lee Huat (Sarawak)
TEMBIKAR DIMENSI BARU
1.Fungsi
– perhiasan diri dan hiasan rumah serta pejabat
2.Alatan & bahan
-menggunakan alatan moden seperti mesin pemutar, tanur elektrik dan tanur gas.
-Menggabungkan kraf lain seperti anyaman, ukiran dll.
-Penggunaan bahan campuran lain seperti kulit siput, daun kering, fabrik dll
3.Reka bentuk
- dikomersialkan dengan mengambil kira keperluan dan aliran semasa
4.Reka corak
-kesesuaian dengan bentuk dan penampilan semasa
5.Kemasan & persembahan
- kemas dan kukuh seperti menyepuh dengan gerlis
March 27, 2010
MEMBENTUK DAN MEMBUAT BINAAN

1. Pengenalan
Membentuk dan Membuat Binaan adalah satu bidang yang terdapat dalam Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual KBSR. Bidang ini mengandungi aktiviti untuk menghasilkan karya berbentuk tiga dimensi. Anda juga dapat memilih alat dan bahan yang sesuai mengikut aktiviti yang dipilih. Daripada aktiviti membentuk dan membuat binaan ini anda dapat menghasilkan pelbagai jenis kraf.
2. Kandungan
Tajuk ini disediakan untuk mengetahui dan memperoleh pengetahuan dan kemahiran mengenai media, proses dan teknik membentuk dan membuat binaan. Semua hasil karya dalam unit ini adalah berbentuk tiga dimensi.

Bidang Kegiatan Membentuk dan Membuat Binaan memberi perhatian kepada perkembangan persepsi murid terhadap aspek seni dari segi bentuk, ruang, struktur, imbangan dan kestabilan.
Aktiviti membentuk peringkat sekolah rendah memainkan peranan penting dalam perkembangan kanak-kanak. Antara aktiviti membentuk, murid dapat mengubah bentuk bahan seperti plastersin, tanah liat, tepung dan papier mache.
3. Alat dan Bahan
Penggunaan alat dan bahan yang sesuai diperlukan dalam proses penghasilan karya Membentuk dan Membuat Binaan. Anda boleh menggunakan pelbagai alat dan bahan seperti tanah liat, plastersin, kertas tumbuk, serbuk papan, kertas yang sesuai untuk origami, kayu, tanah liat, sabun dan sebagainya. Pilihlah alat dan bahan yang sesuai mengikut tajuk dan aktiviti.

4. Teknik-Teknik Membentuk dan Membuat Binaan
Terdapat pelbagai teknik yang boleh digunakan untuk menghasilkan bentuk atau membuat binaan. Antaranya ialah melalui teknik picitan, lipatan, potongan, cantuman, pembungkusan, guntingan, luakan dan sebagainya. Biasanya teknik-teknik tersebut dipilih berdasarkan kesesuaian bahan yang digunakan.
4.1 Teknik Picitan
4.2 Teknik Lipatan
4.3 Teknik Potongan
4.4 Teknik Cantuman
4.5 Teknik Pembungkusan
4.6 Teknik Guntingan
4.7 Teknik Luakan
5. Jenis Aktiviti Membentuk dan Membuat Binaan
Terdapat beberapa aktiviti dan teknik untuk menghasilkan karya dalam bidang Membentuk dan Membuat Binaan adalah seperti arca timbul, arca mobail, arca stabail, asemblaj, model, diorama, boneka, topeng dan origami.
Untuk setiap aktiviti, anda perlu menggunakan tema yang sesuai dengan peringkat perkembangan murid. Sekiranya dirancang dengan rapi, murid dapat melibatkan kemahiran berfikir dan kemahiran menyelesaikan masalah dalam proses penghasilan. Selain daripada menggalakkan minat, imaginasi dan kreativiti kanak-kanak, anda perlu fikirkan bagaimana tema tersebut dapat dikaitkan dengan peringkat perkembangan kanak-kanak.
5.1 Arca Timbul
Bentuk tiga dimensi yang tersembul keluar dari permukaan dua dimensi yang rata atau dipahat keluar yang akhirnya menonjolkan objek ke permukaan. Ia boleh dihasilkan secara acuan, tampalan, binaan atau asemblaj.
5.2 Arca Mobail
Bahagian-bahagian dicantum untuk membentuk satu kesatuan. Digantung untuk menjadikan objek bergerak, berputar atau berombak. Teknik yang biasa digunakan untuk menghasilkan arca mobail adalah kimpalan, gam, skru dan lipatan.
5.3 Arca Stabail
Bahan kutipan dicantumkan untuk membentuk satu kesatuan objek dan dipasang tapak yang stabail. Teknik yang bersesuaian untuk menghasilkan arca ini adalah kimpalan, skru, ikatan, acuan atau binaan.
5.4 Asemblaj
Bahagian atau komponen yang berlainan yang dicantumkan menjadi satu kesatuan objek membentuk satu konsep yang bermakna. Teknik penghasilannya adalah kimpalan, binaan, cantuman skru/paku atau gam.
5.5 Model
Bentuk yang digubah untuk tujuan membuat sesuatu objek konkrit. Contohnya model buah-buahan. Antara teknik yang digunakan adalah gam, kimpalan, skru dan acuan.
5.6 Diorama
Gubahan himpunan objek konkrit yang bertemakan sesuatu cerita, maklumat, fenomena atau peristiwa. Teknik yang lazimnya digunakan dalam penghasilan diorama adalah cantuman, gam dan kimpalan.
5.7 Boneka
Model yang mewatakkan figura manusia, binatang, buah-buahan, serangga dan lain-lain. Teknik untuk penghasilan boneka adalah jalitan, gam, kimpalan dan skru.
5.8 Topeng
Mewatakkan semula imej manusia, binatang, atau unggas dalam konteks menampilkan semula kerangka yang boleh dipakai atau diserkup. Teknik yang digunakan adalah gam, cantuman atau kimpalan.
5.9 Origami
Objek konkrit yang dibentuk melalui lipatan atau konsep topologi. Teknik yang digunakan adalah lupatan dan guntingan.
February 24, 2010
Ukiran Anak VS Ukiran Ayah
Mengapa?"tanya si anak."Memanglah kerana pada waktu itu hasil ukiran ayah sendiri terjual dengan harga RM50,"sahut ayahnya dengan perlahan."Tetapi apabila hasil ukiran saya terjual RM50 pun ayah masih mengkritik hasil kerja saya. Mengapa? Bukankah hasil kerja sayatelah meningkat?"Ayahnya tersenyum seraya berkata, "Sebab pada waktu itu hasil kerja kamu cuma menyamai hasil kerja ayah. itu belum boleh dianggapsatu kejayaan besar."Anaknya tidak puas hati."Nah, semalam hasil ukiran saya berjaya dijual dengan harga RM60! Sudah melebihi harga ukiran ayah. Bukankah itu satu kejayaan besar? Tetapi ayah masih terus mengkritik hasil kerja saya."Nak, sejak sekian lama pernah kau lihat hasil ukiran ayah terjual lebih atau kurang daripada RM50?"tanya si ayah. Si anak terdiam sebentar. "Sepanjang ingatan saya, tidak pernah.""Mengapa agaknya?""Saya tidak tahu ayah!""Fikirkan," Tekan si ayah."Betul ayah, saya tidak pasti.""Jawabnya, sebab ukiran ayah tidak pernah meningkat mutunya. Hanya di takuk lama, "kata si ayah. Anaknya terus diam. "Kamu tahu kenapa hasil ukiran ayah tidak bertambah baik mutunya? "Err, err...saya tidak tahu. "Sebab datuk kamu tidak pernah mengkritik hasil ukiran ayah. Dia diam dan selamba sahaja. Jadi ayah tidak mahu mengulangi kesilapan datuk kamu. Sekarang ayah akan terus mengkritik hasil kerja kamu supaya ia terus meningkat dan meningkat. Jika tidak, harga ukiran kamu akan terus ditakuk lama sama seperti hasil ukiran ayah sekarang ini,"
Pengajaran: Kritikan yang adil adalah pendorong dan pemantau kepada kualiti kerja yang tinggi. Sikap terlalu cepat berpuas hati dengan hasil kerja akan membunuh semangat untuk terus menambah ilmu, kemahiran dan kegigihan. Jangan berlunjur sebelum duduk.!
February 17, 2010
REHAL- Estetika dan Falsafah

Rehal sebagai artifak yang sering dikaitkan dengan kesucian kitab Al-Quran ini juga mempunyai nilai estetikanya sebagaimana kewujudan keris, songket dan tepak sirih dalam budaya Melayu. Selain kegunaannya untuk mengaji atau membaca Al-Quran, rehal tradisi juga digunakan ketika majlis berzanji, marhaban, kelas agama, malahan kerap menjadi barang hantaran perkahwinan serta sebagai alat bantuan mengajar di masjid dan surau sejak sekian lama. Rehal tradisi hanya ada dua teknik pembuatannya iaitu bersilang dan berjejari. Bila zaman sudah berubah, muncul pelbagai rekabentuk rehal, antaranya berbentuk meja kecil dan kotak. Diluar negara seperti Pakistan dan India memang sudah lama menggunakan meja-meja kecil untuk membaca Al-Quran. Penggunaan rehal berbentuk meja kecil masih baru di Malaysia sejak ia diperkenalkan oleh sebuah syarikat tempatan pada 1998.
Pembuatannya menggunakan teknik ukiran kayu secara tebuk tembus dan timbul. Manakala motif ukiran kebanyakannya menggunakan motif flora, geometrik dan kaligrafi. Selain ukir, terdapat penggunaan teknik lain untuk mengindahkan rehal seperti teknik inlay menggunakan kulit kerang, dan kulit telur serta tampalan kepingan tembaga dan disaluti dengan kulit tiram.
Terdapat juga rehal yang dihias dengan lukisan dan diwarnai dengan pelbagai bahan seperti lacquer ware, stained coloured, atau dilukis dengan corak batik. Rekabentuk dan ragam hias rehal tradisi mempunyai unsur-unsur yang melambangkan budaya setempat dan ia mempunyai nilai-nilai artistik dan emosi kepada pemiliknya. Berbanding rehal seperti meja kecil atau kotak yang mana permukaananya rata dan kosong. Walaupun ia dianggap praktikal digunakan pada masa kini tetapi kewujudan rehal tradisi dalam masyarakat Islam di setiap negara berhubung kait dengan seni, budaya dan kerohanian.
Rehal yang direkabentuk bersilang dan berjejari mempunyai perlambangan tersendiri. Apabila dibuka, bahagian atasnya seolah-olah "menadah tangan" yang membawa maksud sesuatu ilmu yang turun dari langit seperti ayat-ayat suci Al-Quran adalah kalam Allah yang dibawa oleh Malaikat Jibril kepada Rasulullah SAW. Begitu juga dengan falsafahnya, apabila berdoa pula kita menadah bukaan tangan yang dirapatkan dan ia boleh dilihat sebagaimana bentuk rehal tradisi itu diperbuat. Hakikatnya rehal tradisi mempunyai falsafah tersendiri, perlu dikekalkan serta diluaskan penggunaannya. ekaannya pula diperbaiki (dari aspek tinggi-bukaannya) dan dihebahkan pengertian, falsafah tersurat serta tersirat disebalik reka bentuknya yang lebih mempunyai nilai estetika serta simbolik dalam sejarah perkembangan budaya dan agama Islam sejak sekian lama.

January 12, 2010
Persatuan Pelukis Malaysia
i. Sejarah Penubuhan
Majlis Kesenian Melayu telah ditubuhkan pada tahun 1956 dan YTM Tunku Abdul Rahman Putra sebagai penaungnya. Pada tahun 1958, Majlis Kesenian Melayu telah diubah kepada nama Angkatan Pelukis Semenanjung (APS) dan seterusnya pada tahun 1964, ia telah diubah kepada Angkatan Pelukis SeMalaysia (APS). Wujudnya APS adalah hasil dari kesedaran guru-guru yang telah menubuhkan Majlis Kesenian Melayu dalam tahun 1956.
Majlis Kesenian Melayu menjalankan aktiviti-aktiviti kesenian seperti seni lukis, muzik dan kegiatan yang lain. Akhirnya pada awal tahun 1957, beberapa orang ahli merasakan bahawa perlunya sebuah persatuan kepada pelukis-pelukis Melayu. Oleh itu, Majlis Kesenian Melayu dibubarkan dan digantikan dengan Angkatan Pelukis Semenanjung pada 15 April 1958.
ii. Pengasas dan Ahli-Ahli Persatuan
Frank Sullivan, penaung seni yang terkenal telah menemui Mohd Hoessein Enas di Pulau Pinang pada tahun 1949 dan telah menggesa beliau berpindah ke Kuala Lumpur Hoessein. Akhirnya, Hoessein Enas bersama dengan kawan-kawannya menubuhkan “Angkatan Pelukis Semenanjung” (APS) pada tahun 1967 dengan cogan katanya “seni untuk masyarakat” dan menggunakan kaedah figuratif.
Pada peringkat awal, Angkatan Pelukis Semenanjung (APS) dipengerusikan oleh Mohammed Hoessein Enas dan setiausahanya ialah Idris Salam. Beliau menumpahkan sepenuh jiwa dan raganya untuk membina seni tampak di negara ini.
Ahli jawatankuasa terdiri daripada Zakaria Noor, Sabtu Yusuf, Habibah Baharuddin dan beberapa nama yang lain. Allahyarham Tan Sri Yaacob Latif telah dipilih sebagai penaung persatuan ini.
Ahli-ahli pada peringkat awalnya ialah Mohd Hoessein Enas, Yaacob Latif, Habibah Manan, Idris Salam, Zakariah Noor, dan Sabtu Yusuf. Ahli yang menyertai kemudiannya ialah Mazli Mat Som dan Syed Ahmad Jamal. Antara ahli-ahli yang terkenal dalam persatuan ini ialah Idris Salam, Mohd Sallehuddin, Sabtu Mohd Yusof, Mazli Mat Som, Ahmad Hassan, Yusof Abdullah dan Zakariah Noor.
iii. Kepentingan / Objektif / Hala tuju Persatuan
Objektif utama APS ialah memperjuangkan nasib semua pelukis di negara ini selain menjadi medium penghubung antara golongan itu dengan kerajaan.
Di samping itu, APS juga bertujuan untuk memperluaskan konsep dan pendekatan dalam seni catan realisme yang menampilkan identiti Melayu. Tidak dinafikan, pengaruh seni tampak Barat masih menebal terutama pada dekad pasca merdeka.
Tetapi itu ketika Mohd. Hoessin masih ada. Kenyataannya kini tidak ada sebuah persatuan aktif yang menggabungkan seluruh pelukis tanah air di bawah satu bumbung. Dalam sastera, ada Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan teater ada Majlis Teater Kebangsaan (Tema).
Penubuhan APS :
a) Menyatupadukan peminat-peminat seni lukis di seluruh Malaysia
b) Mengutamakan seni yang berkeperibadian Malaysia sebagai teras seni kebangsaan.
c) Memelihara dan memperjuangkan seni kebangsaan.
d) Bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan kesenian khasnya seni lukis kebangsaan dan antarabangsa untuk kepentingan serta kemajuan APS dan seni kebangsaan.
.Ciri – Ciri Istimewa APS :
i. Catan berbentuk manusia secara realism menggunakan media cat minyak dan pastel
ii. Mempunyai pengikut yang ramai dari kalangan pelukis berpendidikan Melayu
iii. Selepas 1970-an, pelbagai gaya catan telah bercampur
iv. Aktiviti-Aktiviti
Pada tahun 1959, kelas melukis potret telah diadakan di bangunan PBMS. Kelas ini terus berkembang dan akhirnya menjadi empat buah kelas.
a) Kelas potret oleh Mohd Hoessein Enas
b) Kelas Arca oleh Idris Salam
c) Kelas grafik oleh Zakaria Noor
d) Seni dalaman oleh Habibah Baharuddin
Pada tahun 1964, Mazli Mat Som dilantik menjadi pengerusi APS menggantikan Mohammed Hoessein Enas. Angkatan Pelukis Semenanjung bertukar nama kepada Angkatan Pelukis SeMalaysia, selaras dengan gagasan pembentukan Malaysia.
APS terus menjalankan aktiviti-aktiviti seperti kelas lukisan, pameran, bengkel dan sebagainya. Kini APS telah pun mempunyai bangunannya sendiri di JalanTun Abdul Razak, Kuala Lumpur.
Pada tahun 1969 setelah Syed Ahmad Jamal menjadi yang diPertua APS, kelas-kelas diajar dengan konsep-konsep baru yang dikelolakan oleh pelukis-pelukis terkemuka yang kebanyakannya terdiri daripada pensyarah-pensyarah.
v. Hasil Karya / Aliran
Gaya seni lukis APS banyak dipengaruhi oleh gaya naturalis dan realism. Hanya selepas tahun 1970-an, pelbagai gaya telah bercampur.
THE WEDNESDAY ART GROUP
Pengenalan
Pada tahun 1952, Peter Harris telah menubuhkan Wednesday Art Group di Kuala Lumpur dengan tujuan untuk memperkenalkan estetika dan cara seni lukis moden kepada guru dan pelukis muda tempatan yang berminat. Pengasas kumpulan ini iaitu Peter haris merupakan ekspatariat lepasan sekolah seni lukis di United Kingdom yang bertugas sebagai Pengawas Seni Lukis Jabatan Kuala Lumpur pada tahun 1951. Beliau merupakan tokoh yang begiru berpengaruh terhadap seni lukis di sekolah-sekolah pada tahun 1950-an.
Tema dan stail
Tema kumpulan ini ialah “Seni sebagai wadah ekspresi diri”. Ianya membawa maksud seni dilihat sebagai alat untuk meluahkan ekspresi ataupun menyampaikan maksud yang tersirat yang wujud dalam diri pengkarya. Tema ini sekaligus memberi galakan kepada pelukis untuk mencipta kaedah, penekanan dan pengucapan tampak yang tersendiri.
Objektif utama kumpulan ini ialah memperkenalkan estetika, cara seni lukis, serta alat dan media catan baru kepada ahli-ahlinya. Pengasas kumpulan ini, iaitu Peter Harris juga telah memperkenalkan penggunaan berus besar dan keras menggantikan berus halus dan lembut serta penggunaan gouche sebagai bahan yang lebih liut daripada cat air sebagai media catan baru.
Aktiviti yang dilaksanakan ialah bertemu pada setiap hari Rabu dan Sabtu untuk lukisan tubuh manusia (figuratif, gubahan dan lakonan.). Gaya catan kumpulan ini adalah pelbagai seperti aliran impresionis, post-impresionis dan gaya tersendiri. Sumbangan yang diberikan oleh kumpulan ini dikatakan bahawa asas falsafah yang disemai telah menjadi tenaga pembimbing utama dalam bidang seni lukis di Malaysia pada hari ini.
Antara pelukis Wednesday Art Group ialah Cheong Laitong, Patrick Ng Kah Onn, Jolly Koh, Antony Lau, Dzulkifli Buyong, IsmailMustam, Hajedar Abdul Majid, Mustapha Mahmud, Zakaria Noor, Ho Kai Peng, LiauSiat Moi, Grace Selvanayagam, Phoon Poh Hon, Abdul Halim Mat, dan tokoh-tokoh lain.
Antara contoh karya yang dihasilkan ialah karya “Rumah Rakit-Kuala Lipis” (1956) yang dihasilkan oleh Peter Harris. Karya ini menggambarkan keindahan dan kepermaian pemandangan alam tempatan. Karya ini dihasilkan daripada sapuan-sapuan berus yang yang terkawal dengan sifat gouche yang tebal. Nilai yang cuba disampaikan ialah budaya tempatan yang menonjolkan perspektif keindahan rumah tempatan iaitu rumah rakit di sebatang, Sungai Pahang
Dari aspek gaya, karya ini merupakan catan gaya impresionis berdasarkan formula asas yang sangat digemari oleh pelukis Inggeris selepas Perang Dunia Kedua. Gubahan seolah-olah telah dibingkaikan oelh dahan-dahan pokok di sebelah tepi kiri dan kanan. Peniruan dan gaya harmoni kekuningan menimbulkan suasana tertentu di dalam karya.
Asimilasi stail antara karya-karya Peter Harris dengan pelukis lain dalam kumpulan ini dapat dihayati dengan jelas menerusi pengolahan figura manusia yang berbentuk dengan jinjang dan tinggi lampai serta sapuan berus tebal ala impasto. Kepekaan para pelukis kepada tema-tema kedaerahan dan serantau juga dapat dilihat dalam karya Patrick Ng Kah Onnseperti semangat “Bumi, Air dan udara” (1958).
Pengolahan figura juga dapat dilihat dalam karya Dzulkifli Buyong yang banyak mengambil tema kanak-kanak dalam karyanya. Catan pelukis ini merupakan representasi keriangan, kenakalan, keharmonian dan kegembiraan hidup kanak-kanak yang diterjemahkan riang bermain dan bergurau dalam persekitaran alam tempatan. Contoh karyanya seperti ”Murid Sekolah” (1962), ”Kapal Kertas” (1966), dan ”Burning Ants” (1967).
Teknik yang digunakan oleh Dzulkifli Buyong ialah catan dipersembahkan secara bersahaja dalam gaya impresionis manakala figura yang digayakan mempunyai daya tarikan spontan dan naïf. Kegembiraan hidup kanak-kanak diterjemahkan melalui aktiviti-aktiviti harian mereka. Dari aspek gaya, beliau melambangkan kanak-kanak digambarkan riang bermain dalam persekitaran alam tempatan di samping penggunaan motif-motif kedaerahan menggambarkan suasana dan budaya di desa.
Dalam karya “Kapal Kertas” (1966), beliau telah menggambarkan suasana budaya tempatan di desa. Kanak- kanak di dalam gambar jelas memperlihatkan cirri-ciri kanak-kanak Melayu di perkampungan Melayu. Ianya ditonjolkan dengan pakaian tradisional baju kurung dan kertas akhbar bertulisan jawi di dalam karya tersebut.
Kesimpulan
Dapat dilihat bahawa pelukis-pelukis dalam Wednesday Art Group telah membuat pembaharuan dengan meneroka media, teknik dan tema yang baru dalam mempamerkan tema pemandangan tempatan yang biasanya dihasilkan menggunakan cat air.
Selain cuba menyampaikan mesej alam, mereka juga mengambil berat mengenai aspek kesenian dan budaya hidup masyarakat. Ini adalah sejajar dengan tema utama kumpulan ini yang bertunjangkan kepada “Seni sebagai Wadah Ekspresi Diri”
Contoh karya
Pelukis :Peter Harris
Tajuk : “Rumah Rakit-Kuala Lipis” (1956)
Media : cat gouche
Aliran : impresionis
Pelukis : Dzulkifli Buyong
Tajuk : “Kapal kertas” (1966)
Media : kapur pastel
Aliran : impresionis
AKADEMI SENI NANYANG
Sejarah Penubuhan
Akademi Seni Nanyang terbentuk hasil daripada penghijrahan pelukis-pelukis Cina ke Asia Tenggara, khususnya Singapura, akibat daripada perlanggaran tentera Jepun ke atas China pada tahun 1936 dan ia juga merupakan akademi seni yang awal ditubuhkan di negara ini atas usaha beberapa orang pelukis yang datang dari negara China di sekitar tahun 1930-an. Akademi yang julung kalinya ditubuhkan di Malaya dibuka dengan sebuah bilik yang kecil bertentangan dengan taman hiburan Gay World di Geylang, Singapura dalam tahun 1937. Setahun kemudian, ia berpindah ke sebuah bangunan yang terletak di 93, Jalan Seranggon, Singapura. Kemasukan kumpulan pelajar pertama adalah seramai 14 orang sahaja.
Pada peringkat awal,hanya terdapat tiga orang tenaga pengajar sepenuh masa. Lim Hak Tai bertugas sebagai pengetua. Beliau mengajar catan cat air dan minyak. Kao Fei Tse mengajar asas lukisan dan Chang Meng Tee mengajar grafik ( reka bentuk ). Seorang pelukis mengajar sambilan di akademi ini ialah Chung Ting Wei.
Semasa Perang Dunia Kedua pada tahun 1941, akademi ini ditutup. Lim Hak Tai pula bersara. Pada tahun 1946, akademi ini dibuka semula dan berpindah ke 49, St Thomas Walk, Singapura. Akademi ini kemudiannya menghadapi masalah kewangan dan dua orang kaya telah dilantik menjadi lembaga pengarah untuk membantu kesulitan mereka, iaitu Tseng Chee Dahy dan Tsai Yan Fu.
Kemudian pelukis-pelukis seperti Cheng Soo Pieng, Cheng Wen His, Maddamme Georgette Chen dan lain-lain dari negara China telah datang ke Singapura. Mereka ini mendapat pendidikan seni dari beberapa buah university di negara China. Kedatangan mereka member keyakinan kepada akademi ini. Cheng Soo Ping adalah salah seorang bekas pelajar, Lim Hak Tai di Akademi Seni Amoy, China, Cheng Wen His pula lulusan seni halus di New China University, Shanghai. Madam Georgette Cheng dilahirkan di Paris dan terpengaruh dengan catan Barat.
Pada tahun 1950-an, akademi ini menawarkan kursus-kursus peringkat diploma yang mengambil masa selama 3 tahun. Kelas akan diadakan pada hari Isnin hingga Jumaat dari jam 9.30 pagi hingga 3.30 petang. Akademi ini mengikut model akademi Beaux-arts.
Pengasas / Ahli Persatuan
Lim Hak Tai yang merupakan pengasas kepada Akademi Seni Nanyang telah menerima pendidikan di Kolej Perguruan Seni Amoy ( Amoy Art Teacher’s Training College ) dalam bidang matematik, pendidikan seni dan seni catan barat.
Beliau kemudiannya mengajar di Universiti Chip Bee di Amoy dan di Akademi Seni Amoy sebelum berhijrah ke Singapura. Di samping Hak Tai, pelukis-pelukis penting Nanyang yang lain adalah seperti Cheong Soo Pieng, Chen Wen Hsi, Georgette Chen, dan Chen Chong Swee ( Wharton, 1971 ). Kesemuanya tiba di Singapura selepas Perang Dunia Kedua dan mengajar di Akademi Nanyang selepas ia dibuka semula pada tahun 1946.
Generasi kedua pelukis-pelukis Nanyang ini telah mengikuti pendidikan seni lukis Barat dan seni tradisi Cina di negara kita. Cheong Soo Pieng belajar di Akademi Seni Halus Amoy dan Akademi Seni Sin Hwa di Shanghai ( 1936 ) ; Chen Wen His menerima pendidikan di Akademi Sin Hwa dan Universiti Shanghai ( 1932 ); sementara Georgette Chen belajar di Academic Colarossi dan Academie Biloul di Paris, serta di Students League, New York ( Wharton, 1971 ; Piyadasa, 1979. Pengalaman luas mereka dalam seni Barat dan Cina telah mewujudkan pertembungan stail dalam perkembangan awal seni lukis moden tempatan.
Kepentingan / hala tuju / objektif
Tujuan utama Akademi Seni Nanyang ini ditubuhkan di Malaya adalah untuk memberikan peluang kepada penggemar seni untuk menjalani kursus pada peringkat diploma di mana di dalam jangka masa kursus tersebut mengambil masa selama tiga tahun pada tahun 1950-an.
Berdasarkan kepada kursus yang telah ditawarkan di dalam akademi ini, ia adalah berlandaskan atau berpandukan kepada model akademi Beaux-arts di mana akademi ini merupakan salah satu akademi seni halus kerajaan Perancis yang dianggap sebagai institusi seni yang paling penting di dunia.
Dengan adanya kursus yan ditawarkan ini, diharapkan penggiat seni atau pun pelukis-pelukis Nanyang dapat mencerminkan asas serta permulaan kekuatan pengaruh Barat dalam dunia seni lukis tempatan yang sekali gus menyimbolkan proses asimilasi budaya dalam bidang kesenian.
Aktiviti-aktiviti yang dijalankan
Pengasas dan juga ahli-ahli yang terdapat di dalam Akademi Nanyang ini merupakan pensyarah sepenuh masa dengan memberikan kursus kepada semua pelajar yang memasuki akademi ini.
• Lim Hak Tai ( pengetua & pensyarah cat air dan cat minyak )
• Kao Fei Tse ( pensyarah asas lukisan )
• Chang Meng Tee ( pensyarah grafik )
• Chung Ting Wei ( pensyarah sambilan )
Ciri keistimewaan :-
• Akademi ini ditutup semasa Perang Dunia Kedua ( 1941-1945 )
• Akademi ini dibuka semula pada tahun 1946 tetapi menghadapi masalah kewangan.
• Jutawan Tseng Chee Dahy dan Tsai Yan Fu dilantik sebagai lembaga pengarah untuk menyelesaikan kesulitan.
Pelukis tempatan keluaran Akademi Seni Nanyang
• Chung Chen Sun
• Cheah Yew Saik
• Jehan Chan
• Khoo Sui-Ho
• Kuo Ju Ping
• Le Chek Wan
• Lai Foong Moi
• Tan Choon Ghee
• Tew Nai-Tong
Gaya catan pelukis keluaran Akademi Seni Nanyang
Dipengaruhi oleh catan Eropah aliran impresionis, Post-Impresionis, fauvisme, kiubisme, ekspresionisme, dan abstrak ekspresionisme. Tidak ketinggalan juga gaya lukisan dan catan cina.
Contoh hasil karya
Cheong Soo Pieng. “ Kehidupan Tropika “,
Cat air, 88.9 x 45.6 cm
Aliran – kubisme
Khoo Sui Ho, 1965. “ Bright Day “
Cat minyak, 106.2 x 104.5
Aliran :- Kubisme
December 8, 2009
Gadis Melayu - Dato' Hoessein Enas
Gadis Melayu(1950) Cat Minyak 49 x 39 cmMohamed Hoessein Enas dilahirkan di Bogor, Jawa, Indonesia pada tahun 1924. Beliau telah berhijrah ke Malaysia pada 1947. Bakat seni beliau adalah semulajadi dan beliau telah banyak meneliti kejadian alam dan kehidupan manusia dan merujuk kepada keindahan wajah dan budaya tempatan. Hasil karya beliau adalah menuju kepada aliran realistik dan naturalistik
Hal Benda
Seorang gadis, yang berambut hitam, bersanggul, bibir yang tebal, beranting-anting, memndang ke satu tempat, dan memakai baju kemeja
Makna
Rambut yang hitam dan bibir yang tebal memberi makna seorang gadis melayu yang asli. Baju kemeja pula membawa makna kemodenan. Karya potret ini secara keseluruhannya membawa makna seorang gadis Melayu yang menjaga kemelayuannya di dunia serba moden. Ini juga merupakan fesyen gadis Melayu dizaman itu.
Cerita
Disini beliau cuba menimbulkan identiti kebangsaan dengan imej figura rakyat tempatan yang digambarkan secara natural.
Ekspresif
Di dalam potret ini, beliau telah melahirkan rasa bangga dan kagum beliau terhadap identiti gadis-gadis melayu dengan feyennya dimasa itu dengan mengabadikannya di dalam potret agar boleh dilihat dan terus kekal selagi hasil karyanya ini masih ada.








